Bayi empat bulan maut baru sebulan dijaga pengasuh - Utusan Malaysia

Bayi empat bulan maut baru sebulan dijaga pengasuh

AHLI keluarga memegang jenazah bayi perempuan berusia empat bulan, Luna Aralyn Amar Ridhwan untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Felda Lui Muda, Jempol untuk dikebumikan.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bayi perempuan berusia empat bulan, Luna Aralyn Amar Ridhwan baru sebulan dihantar ke rumah pengasuhnya sebelum ditemui lemah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini petang semalam.

Ibu bayi berkenaan, Lilis Handayani Sukran, 24, berkata, dia sedih dengan pemergian anak tunggalnya yang baru dilahirkan akhir Julai lalu.

“Masa itu, saya berada di tempat kerja, dapat panggilan dari pengasuh yang memaklumkan muka anak sudah biru dan dia suruh segera datang ke rumahnya.

“Bayi ini merupakan satu-satunya anak saya dan baru sebulan dihantar ke rumah pengasuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, HTJ di sini hari ini.

Sementara itu, bapa saudara bayi tersebut,  Nashrullah Mohd. Non, 32, berkata, buat masa ini, punca kematian masih belum dikenal pasti dan keputusan hasil bedah siasat hanya akan diperoleh dalam masa terdekat.

“Jenazah bayi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lui Muda, Jempol selepas solat Zuhur hari ini,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 4.40 petang semalam, ibu mangsa yang berada di tempat kerja menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memintanya datang segera ke kediamannya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini kerana bayi itu dalam keadaan sangat lemah dan wajahnya pucat.

Beliau berkata, sebaik tiba, ibunya mendapati keadaan kulit wajah anaknya, Luna Aralyn, empat bulan, telah pucat dan tiada tindak balas apabila dia cuba mengejutkannya.

Bayi itu kemudiannya dihantar ke HTJ di sini untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian. -UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.