Pembonceng wanita maut dilanggar lori - Utusan Malaysia

Pembonceng wanita maut dilanggar lori

KEADAAN motosikal yang dilanggar sebuah lori 50 tan yang mengakibatkan pembonceng motosikal tersebut maut dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) menghala ke Paroi di Seremban, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pembonceng wanita maut selepas motosikal yang dinaikinya dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) menghala ke Paroi di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superitenden Mohd. Rosli Ishak berkata, wanita warga Indonesia itu yang berusia dalam lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila sebuah lori 50 tan tanpa muatan jenis Hanvan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun seorang diri sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah Juasseh menuju ke Seremban.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun bersama seorang pembonceng wanita dari arah kiri telah menyusuri susur jejambat di lokasi kemalangan lalu masuk ke laluan hadapan lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Rosli, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan manakala pembonceng motosikal maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya