ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat selepas seramai 446 mangsa dipindahkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat pagi ini.
Mangsa banjir yang dipindahkan semalam seramai 243 orang daripada 65 keluarga di lima PPS di daerah Baling dan Pendang.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, tujuh PPS dibuka di Baling, dua di Pokok Sena dan satu di Pendang.
Kata beliau, tiga PPS baru dibuka di Baling iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Putera, PPS SK Pulai dan PPS SK Keda.
“Seramai 124 mangsa daripada 42 keluarga telah ditempatkan di PPS SK Pulai, 26 mangsa daripada lapan keluarga di PPS SK Tengku Putera dan 24 mangsa daripada 10 keluarga di PPS SK Keda.
“Selain itu, empat PPS di Baling yang masih kekal iaitu PPS SK Tanjung Pari, PPS SK Siong, PPS Banggol Derom dan PPS Titi Gantung mencatatkan penurunan mangsa iaitu 60 mangsa daripada 20 keluarga berbanding semalam 102 mangsa daripada 29 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Muaz berkata, di daerah Pendang pula terdapat pertambahan mangsa iaitu seramai 141 mangsa daripada 36 keluarga di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah berikutan hujan lebat dan limpahan air sungai masih berterusan semalam.
“Dua lagi PPS baru di buka di Pokok Sena iaitu PPS Surau Permatang yang menempatkan 35 mangsa daripada 10 keluarga dan PPS Masjid Sungai Durian seramai 59 mangsa daripada 17 keluarga.
“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan operasi pemantauan diteruskan berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE