Unisza ditutup 3 hari mulai esok, seorang petugas positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Unisza ditutup 3 hari mulai esok, seorang petugas positif Covid-19

AKTIVITI disinfeksi secara menyeluruh giat dilaksanakan di ketiga-tiga kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) iaitu Gong Badak, Perubatan dan Besut susulan seorang kakitangan disahkan positif Covid-19 kerana mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang sama dengan seorang individu pulang dari Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ditutup sementara selama tiga hari bermula esok hingga Rabu susulan salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan itu bagi membolehkan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dilaksanakan di ketiga-tiga kampus iaitu Gong Badak, Perubatan dan Besut.

Menurutnya, mangsa dikatakan mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang sama dengan seorang individu pulang dari Sabah yang kemudiannya disahkan positif pandemik tersebut.

Katanya, kakitangan berkenaan kini dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu bagi rawatan dan pengasingan selepas menjalani saringan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini manakala seramai 14 petugas yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pula diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin.

“Semua warga Unisza yang mempunyai kontak dengan staf dikuarantin itu diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula Jumaat lalu hingga 15 Oktober bagi mengelakkan penularan dalam kampus.

“Sebagai langkah kawalan, pengurusan Unisza memutuskan agar semua staf bekerja dari rumah bermula esok hingga Rabu dan arahan ini melibatkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan perkhidmatan penting seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hassan Basri, kebajikan seramai 584 pelajar yang berada di Kampus Gong Badak dan Besut akan diuruskan oleh pihak universiti, bagaimanapun proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian sepanjang tempoh penutupan itu.

Sehubungan itu, katanya, semua program, mesyuarat dan bengkel secara bersemuka di kampus turut ditangguhkan sehingga keadaan kembali terkawal. 

Dalam perkembangan sama, katanya, Unisza kini menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu staf di samping keluarga yang terjejas.

“Warga Unisza dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan, elakkan berkumpul, patuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan norma baharu yang digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita minta semua warga universiti meningkatkan kawalan kendiri dan tidak merasa selesa atau alpa terhadap risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya