Danish Hossman belajar daripada orang lama

Danish Hossman belajar daripada orang lama

DANISH Hossman Abd. Rahman (berdiri kiri) menyantuni pengundi di kawasan DUN Johor Lama ketika berkempen pada PRN Johor ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Danish Hossman Abd. Rahman mengakui banyak belajar daripada individu yang lebih berusia supaya beliau dapat memberikan khidmat terbaik.

Danish Hossman, 26, yang merupakan calon termuda yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bakal menentang bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Johor, Norliza Noh daripada Barisan Nasional (BN) dan Aisah Esa daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurut Danish Hossman, dia tidak melihat usia muda sebagai kelemahan berbanding mana-mana calon sebaliknya perkara itu akan dijadikan kelebihan buat dirinya dalam memenangi hati pengundi berbagai usia.

“Usia saya mungkin muda, tetapi saya banyak belajar daripada orang yang lebih berusia. Perkara itu membuatkan saya banyak belajar daripada pengalaman orang lain khususnya dalam memberikan perkhidmatan.

“Saya juga tidak asing dengan kerja kemasyarakatan kerana saya merupakan pengerusi NGO belia. Oleh itu mahu gunakan usia muda ini untuk berkhidmat,” katanya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tambah pemuda kelahiran Pontian itu, keputusan menjadi calon dan menyertai pilihan raya dibuat bertujuan meningkatkan kesedaran berpolitik dalam kalangan golongan muda di negara ini.

“Ada segelintir golongan muda yang seakan tidak ambil peduli perkembangan mengenai politik negara, jadi saya mahu tunjuk kepada orang muda bahawa pilihan raya atau politik ini perlu dititik beratkan.

“Belajar, bekerja memang penting, tetapi orang muda juga perlu ambil tahu mengenai perkembangan politik negara kerana ia juga merupakan perkara yang penting,” katanya.

Sementara itu, Danish Hossman turut memberitahu dia memilih untuk menyantuni pengundi di DUN berkenaan secara bersemuka kerana yakin kaedah itu lebih ikhlas dan akan meninggalkan kesan bermakna kepada semua pihak.

“Antara fokus saya adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di kawasan ini bagi meningkatkan pendapatan rakyat setempat sekaligus memastikan golongan muda tidak berhijrah ke kawasan lain.

“Untuk membangunkan potensi kawasan ini, penduduk perlu memastikan kemenangan kepada calon PH agar kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan dapat ditubuhkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN