Bersama tawar lima ‘Aku Janji Khidmat’

Bersama tawar lima ‘Aku Janji Khidmat’

MOHD. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad (duduk, dua kiri) semasa sidang akhbar bersama calon-calon Bersama yang bertanding pada PRN Johor di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menawarkan lima ‘Aku Janji Khidmat’ kepada pengundi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan berperanan sebagai pembangkang berkesan, khususnya dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri kalau diberikan mandat oleh pengundi kawasan masing-masing.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, ‘Aku Janji Khidmat’ itu ditawarkan parti berkenaan memandangkan tidak mampu menubuhkan kerajaan negeri sendiri walaupun jika semua calon itu menang.

Sehubungan itu katanya, tawaran tersebut dilihat lebih rele­van dan bersesuaian berbanding tawaran manifesto yang biasanya ditawarkan gabungan parti-parti politik lebih besar.

“Kita hanya bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi calon-calon Bersama tawarkan ‘Aku Janji Khidmat’ mengan­dungi lima perkara utama akan dilakukan mereka jika dipilih.

“Ia melibatkan kaunter ber­gerak aduan rakyat setiap bulan, mencari penyelesaian membina terhadap aduan rakyat, melin­dungi hak perumahan rakyat, memperju­angkan sistem pengangkutan awam bersepadu serta menyemak dan memantau perbelanjaan kewangan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Tebrau, di sini semalam.

Turut hadir, pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa calon Bersama yang bertanding pada PRN Johor ke-16 kali ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rafizi berkata, Bersama mengeluarkan garis panduan kepada kesemua 15 calon parti itu yang akan berkempen pada PRN Johor ke-16 ketika ini.

Katanya, garis panduan berkenaan bertujuan memastikan insiden kenyataan sensitif seperti yang dibuat calon Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Boo Wei Han berhubung isu penternakan babi tidak berulang.

“Saya datang ke sini dengan harapan perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Susah saya nak jawab nanti. Saya menulis panduan panjang lebar kepada calon dan penceramah, tentang cara menyampaikan ucapan.

“Ada yang perlu dan ada yang tidak perlu, apa mesej kita, apa yang kita katakan. Syukur dan Alhamdulillah saya melihat calon-calon kita berjaya menyampaikan ucapan mereka dengan baik,” katanya ketika berucap pada kempen Bersama yang diadakan di DUN Larkin, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN