MUKADIMAH
Kukup sering kali dikatakan sebagai salah satu kerusi selamat buat Barisan Nasional (BN) khususnya di negeri Johor. Bagaimanapun politik yang bersikap dinamik ini boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya tiada persiapan dibuat bagi menghadapinya.
Sehubungan itu, mana-mana calon termasuklah daripada BN yang mahu bertanding di kerusi DUN berkenaan perlu menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan amanah rakyat terhadapnya dipikul sehabis baik.
Walaupun bersandarkan gelaran kerusi selamat, namun pengundi tetap berdepan masalah harian yang perlu penyelesaian, jika wakil rakyat dipilih gagal melaksanakan tugas tersebut, parti diwakili akan dihukum.
Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI menemubual calon BN bagi kerusi DUN Kukup, ISRAK ABDULLAH bagi mendapatkan misi dan visi beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
1. Soalan: Diberikan amanah sebagai calon BN di DUN Kukup, bagaimana persiapan tuan untuk galas tanggungjawab tersebut?
Alhamdulillah, saya bersyukur atas kepercayaan diberikan. Amanah ini bukan satu penghormatan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab yang besar kepada rakyat Kukup.
Persiapan saya bukan bermula dari hari penamaan calon, tetapi sejak sekian lama melalui penglibatan bersama masyarakat, mendengar sendiri masalah penduduk, nelayan, peniaga,
belia, wanita serta pelbagai lapisan masyarakat.
Sekiranya diberi mandat, fokus saya adalah memastikan agenda pembangunan kerajaan Negeri dapat diterjemahkan dengan berkesan di DUN Kukup. Saya mahu jadi wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mudah ditemui, cepat bertindak dan menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan supaya setiap isu dapat diselesaikan secara pantas dan berkesan.
2. Soalan: Apakah isu-isu atau aduan yang tuan terima melibatkan penduduk di Kukup, dan apa cadangan untuk atasi isu berkenaan?
Antara isu yang sering dibangkitkan ialah peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi tempatan, infrastruktur seperti jalan dan longkang, kemudahan awam, kebajikan nelayan serta peluang perniagaan untuk anak muda.
Bagi menangani perkara ini, saya akan memastikan DUN Kukup mendapat manfaat daripada pelaksanaan manifesto kerajaan negeri, antaranya memperkukuhkan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi; memperluaskan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana; memperkasa industri perikanan serta komuniti nelayan; menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan, lampu jalan dan sistem saliran dan memastikan bantuan kebajikan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui pangkalan data yang lebih tersusun.
Apa yang penting ialah setiap isu akan diberikan tindakan susulan, bukan sekadar didengar.
3. Soalan: Ada segelintir pihak menganggap Kukup sebagai pekan mati, apakah pembangunan yang tuan hendak usahakan untuk rancakkan ekonomi setempat?
Saya tidak melihat Kukup sebagai pekan mati. Saya melihat Kukup sebagai kawasan yang
mempunyai potensi besar tetapi memerlukan suntikan pembangunan yang lebih agresif.
Kukup mempunyai kelebihan daripada segi pelancongan, hasil laut, budaya masyarakat serta kedudukannya yang strategik. Saya mahu melihat Kukup berkembang sebagai destinasi pelancongan yang lebih lengkap melalui promosi pelancongan berasaskan warisan, makanan dan alam semula jadi; memperkasakan perusahaan makanan laut dan produk tempatan; membantu usahawan kecil melalui program pembiayaan dan pendigitalan dan menarik lebih banyak program pelancongan dan acara komuniti yang memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan.
Ini selari dengan manifesto kerajaan negeri yang mahu mentransformasikan produk pelancongan setiap daerah serta mengoptimumkan kekuatan ekonomi mengikut keunikan kawasan masing-masing.
4. Soalan: Walaupun ada pihak mendakwa Kukup merupakan kerusi selamat untuk BN, tetapi apakah cabaran yang tuan rasa akan dihadapi dalam PRN Johor ini?
Dalam pilihan raya, tiada istilah kerusi selamat. Cabaran utama ialah memastikan rakyat terus yakin bahawa kerajaan yang stabil mampu
membawa pembangunan yang konsisten.
Hari ini rakyat lebih matang. Mereka mahu melihat hasil kerja, bukan sekadar janji. Sebab itu saya percaya kita perlu turun bertemu rakyat setiap hari, mendengar sendiri suara mereka dan membuktikan bahawa BN dan wakil-wakilnya sentiasa bekerja.
Saya mengambil pendekatan merendah diri, tidak memandang mudah mana-mana lawan dan
akan bekerja sebaik mungkin sehingga hari pengundian.
5. Soalan: Bagaimana tuan mendekati pengundi berbilang kaum, usia dan latar belakang di Kukup?
Kukup ialah kawasan yang cukup unik kerana mempunyai masyarakat Melayu, Cina, India dan
pelbagai kaum lain yang hidup dalam suasana harmoni. Pendekatan saya adalah untuk mendengar, menghormati dan menyelesaikan masalah tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Saya percaya setiap rakyat mempunyai keperluan sama iaitu peluang pekerjaan, pendidikan yang baik, kemudahan yang berkualiti dan kehidupan yang lebih selesa. Saya juga akan memperbanyak program bersama belia, wanita, warga emas, komuniti nelayan, usahawan serta NGO supaya setiap kelompok masyarakat mempunyai ruang menyuarakan pandangan mereka.
Apa yang saya tawarkan ialah komitmen untuk bekerja sepenuh hati bersama rakyat. Saya mahu jadi wakil rakyat yang bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya, tetapi sentiasa bersama rakyat sepanjang masa.










