JOHOR BAHRU: Keputusan Perikatan Nasional (PN) yang tidak meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi bayangan seolah-olah terdapat kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, desas desus itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa ahli dan penyokongnya mengundi calon BN.
Katanya, tindakan-tindakan tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan.
“Sebelum ini Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pernah bangkitkan kemungkinan wujud kerjasama antara BN dan PN, namun dakwaan itu dinafikan oleh MCA.
“Tetapi pagi ini kita nampak Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) dan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) membuat kenyataan terbuka menyeru penyokong mereka untuk undi BN di tempat yang tak ada calon PN bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Media PRN Johor di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kulai berkenaan menggesa rakyat negeri Johor membuat keputusan dan memilih calon-calon berdasarkan perkembangan politik terkini tanah air.
“Pengundi di Johor perlu menilai situasi terkini ini dan buat satu keputusan yang bijaksana. Ini kerana bagi saya, sangat jelas bahawa satu undi untuk BN bermakna satu undi untuk PN.
“Jadi kita perlu elakkan situasi di mana barang kita pesan barang lain tetapi barang lain yang sampai,” katanya.-UTUSAN










