PRN Johor: Tanding 56 kerusi DUN kerana kehendak rakyat, bukan sombong - Utusan Malaysia

PRN Johor: Tanding 56 kerusi DUN kerana kehendak rakyat, bukan sombong

Onn Hafiz Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan keputusannya untuk bertanding kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai kehendak majoriti rakyat Johor.

Namun demikian, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, keputusan itu tidak menghalang pentadbiran negeri bekerjasama dengan kepimpinan Pusat bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela.

“Saya maklum pandangan Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah keputusan yang sukar untuk diterima Perdana Menteri. Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong,” soalnya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pelantikan beliau selaku Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.

“Malah, dalam banyak perkara, Kerajaan Negeri turut membantu melengkapkan usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat Johor,” katanya.

Beliau turut memberitahu, antara inisiatif kerajaan negeri termasuklah membantu Menaiktaraf bilik guru di sekolah-sekolah, membantu pengurusan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ), kem tentera, hospital dan juga klinik.

“Apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri umumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.

“Kami berbuat demikian yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat. Sehubungan itu saya ingin bertanya dalam aspek apa dikatakan kerajaan negeri tidak memberi kerjasama dengan Persekutuan,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN