PRN Johor: Persiapan semua 56 calon BN lancar - Utusan Malaysia

PRN Johor: Persiapan semua 56 calon BN lancar

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar salah seorang penerima sempena Majlis Penyerahan Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 4 di Austin International Convention Centre (AICC), Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan semua persiapan bagi menghadapi Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok berjalan lancar.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya berharap pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap akan terus menyokong dan memberikan mandat kepadanya.

“Kita doa, dan kita harap bahawa warga DUN Machap dapat memberikan saya mandat untuk meneruskan perkhidmatan saya kepada mereka, insya-Allah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 4 di Austin International Convention Centre (AICC), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

Tambah beliau, pihaknya yakin kesemua 56 calon BN yang terdiri daripada ahli UMNO, MCA dan MIC telah melakukan persediaan sebaiknya di kawasan ditandingi masing-masing.

“Alhamdulillah, kita telah buat segala persediaan dengan tertib dan juga rapi. Dan kita doakan agar perjalanan penamaan calon di kesemua 56 DUN berjalan dengan baik dan lancar, insya-Allah,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh Hari Penamaan Calon bagi PRN Johor ke-16 akan diadakan pada 27 Jun iaitu esok, manakala Hari Undi Awal pada 7 Julai, sebelum Hari Pengundian ditetapkan pada 11 Julai.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Onn Hafiz mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20.75 juta kepada 5,000 penerima bagi pemberian bantuan perumahan menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor Fasa 4.

Peruntukan itu terdiri daripada Bantuan Beli Rumah Pertama bernilai RM17.5 juta, Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2 juta) dan Bantuan Sewa Rumah (RM1.25 juta).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN