MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertaruhkan pasangan ayah dan anak sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Pengumuman itu dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis yang diadakan di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini malam tadi.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain sekali lagi dicalonkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, manakala anaknya, Mohamad Alias Rasman akan bertanding di DUN Panti.
Mohamad Alias berkata, pencalonannya itu bukan bertujuan berdepan pilihan raya semata-mata, sebaliknya merupakan peluang untuk menabur bakti kepada kawasan yang membentuk karektor peribadinya.
“Panti adalah tempat yang dekat dalam perjalanan hidup saya. Di bumi ini sebahagian daripada perjalanan pendidikan saya terbina. Di sini saya belajar mengenal masyarakat, memahami kehidupan dan melihat sendiri kekuatan rakyat yang tabah, gigih dan tidak mudah mengalah.
“Sebagai anak muda, saya sedar tanggungjawab ini besar. Pengalaman dalam bidang guaman akan saya gunakan sebaiknya untuk mendengar isi hati masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian dan menambah baik kehidupan mereka,” katanya selepas diumumkan sebagai calon.
Selain Rasman dan Mohamad Alias, Bersatu turut mempertaruhkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Abd. Mutalip Abd. Rahim Sahak calon di DUN Layang-Layang.
Beliau yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi DUN berkenaan diumumkan sebagai calon hanya kira-kira selepas dua jam mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.
Menurut Abd. Mutalip, keputusan itu diambil susulan majoriti pengundi DUN berkenaan yang majoritinya masyarakat Melayu enggan menerima pencalonan calon daripada MCA mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi tersebut.
“Saya sudah tidak mahu menjadi calon di Layang-Layang, tetapi dikerusi berkenaan yang mana pengundinya hampir 60 peratus masyarakat Melayu bertanya mengapa calon BN daripada bukan Melayu.
“Jadi atas rasa tanggungjawab demi agama, bangsa dan juga pengundi yang mahu saya sekali lagi menjadi calon, saya ambil keputusan ini,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Chua Jian Boon daripada MCA sebagai calon gabungan itu bagi kerusi DUN Layang-Layang.-UTUSAN










