BATU PAHAT: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pihaknya pihaknya tidak terkejut dengan perpisahan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti diumumkan, semalam.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, penamatan kerjasama politik antara Pas dan mana-mana parti politik lain bukan perkara baharu sebaliknya sudah menjadi kelaziman parti berkenaan.
“Keputusan oleh Jawatankuasa Agung PAS Pusat bukan satu benda baharu kalau kita tengok sejarah perjalanan politik PAS. Siapa sahaja yang bergabung dengan dia berakhir dengan perceraian.
“Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga, itu sahaja. Kita tengok dengan Semangat 46, ataupun dengan pakatan sendiri, kemudian dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional, terkini dengan Bersatu, lepas ini siapa pula,” katanya ketika diminta mengulas berhubung perpecahan antara Pas dan Bersatu ketika ditemui pemberita pada Program Citra Menteri Dalam Negeri di Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan mengumumkan pihaknya secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Manakala Pada 2 Jun lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan berkata, parti itu mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan terhadap Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, Pas telah menyalahgunakan tema penyatuan ummah apabila parti itu dilihat lebih banyak menamatkan kerjasama politik berbanding parti-parti lain.
“Walaupun alasannya sama penyatuan ummah, tetapi ia mengikut tafsiran dan sudut pandang mereka. Rukun prinsip politik dalam Islam ini ialah tegakkan keadilan, menyeru makruf, mencegah mungkar, mengajak kepada kebaikan, menyemaikan sifat kasih sayang, perpaduan. Itu prinsip dalam politik Islam.
“Dia tak boleh kata masa berkawan dulu asasnya penyatuan ummah, kemudian masa bercerai pun prinsipnya penyatuan ummah juga. Tak boleh bebas bagi tafsiran ikut selera kita,” katanya.
Beliau turut memberitahu PH tidak akan menjadi kuat hanya kerana berlaku perpecahan antara parti-parti lawan sebaliknya akan menjadi kuat menerusi kerja keras dan semangat muafakat semasa parti komponen.
“Bila ada satu pihak kuat, kita sama-sama terima manfaat, manakala apabila ada satu pihak lemah kita sama-sama bantu untuk atasi kelemahan tersebut. Itu ertinya kerjasama dalam berpolitik,” katanya. – UTUSAN










