Tidak sehaluan dengan PKR, Rafizi perlu berundur - Utusan Malaysia

Tidak sehaluan dengan PKR, Rafizi perlu berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang terus mengkritik PKR secara terbuka merupakan serangan langsung yang mencemarkan imej parti dan kepimpinan tertinggi.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal berkata, tindakan Rafizi sudah melangkaui batas hingga menggugat kestabilan parti.

Malah, naratif yang dibawa Rafizi turut menimbulkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Naratif yang dibawa bukan sahaja mengelirukan malah mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti tanpa asas yang kukuh.

“Perbuatan ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, tetapi telah melangkaui batas dengan membawa implikasi besar terhadap kestabilan parti dan keyakinan rakyat.

“Lebih mendukacitakan, tindakan ini dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi yang sengaja mahu melemahkan parti dari dalam.

“Dalam suasana parti dan kerajaan memerlukan kekuatan serta kesatuan, pendekatan yang diambil oleh Rafizi hanya membuka ruang kepada musuh politik untuk mengambil kesempatan,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khuzaire turut berkata, perbezaan pandangan dalam parti tidak pernah dihalang namun ia perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan berdisiplin.

“Serangan terbuka yang berterusan ini menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar demi reformasi atau sekadar didorong kepentingan peribadi,” katanya.

Katanya, Rafizi wajar mengambil langkah berundur jika tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.“Jika sudah tidak selari dengan prinsip parti, jalan paling bermaruah adalah berundur.

“Terus memainkan naratif yang merosakkan hanya akan memudaratkan parti dan akhirnya memakan diri sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN