‘Jangan takut undi tidak percaya’

‘Jangan takut undi tidak percaya’

ENAM wakil rakyat Pas menuntut Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memberi penjelasan berhubung penangguhan sidang DUN Perlis dalam satu sidang akhbar di Mata Ayer, Perlis semalam. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Politik Perlis kembali berkocak apabila enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berhubung penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Desakan tersebut dibuat oleh Mohd. Shukri Ramli (Sanglang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri) dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN berkenaan.

Mohd. Shukri berkata, penangguhan tanpa sebarang alasan munasabah itu sangat mengejutkan dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau juga kesal dengan situasi yang berlaku apabila sanggup menangguh penerbangan ke tanah suci yang sepatutnya pada 18 April kepada 3 Mei semata-mata untuk menghadiri sidang DUN Perlis.

“Kita mahu Menteri Besar segera memberi penjelasan berhubung penangguhan tersebut. Banyak isu hendak diketengahkan di dalam sidang DUN berkenaan seperti soal pelaburan, pemberian geran tanah, pertukaran pegawai kerajaan dan banyak lagi

“Kami juga kesal kerana tidak pernah dilibatkan dengan sebarang perbincangan termasuk dalam soal penangguhan sidang DUN ini. Kita beri masa dua hari atau selewat-lewatnya seminggu untuk Menteri Besar memberi penjelasan,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.

Surat pemakluman yang dikeluarkan itu bagaimanapun tidak dimaklumkan sebab atau alasan penangguhan tersebut.

Sidang DUN tersebut sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Krisis tercetus selepas lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu tiga dari Pas dan lima dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mengemukakan akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, Abu Bakar perlu mempunyai keyakinan dan kepercayaan dengan pendirian Pas sebelum ini yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar dari Bersatu, meskipun mereka menolak jawatan Exco.

“Tidak perlu takut dengan undi tidak percaya,” kata bekas Menteri Besar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN