PETALING JAYA: Mesyuarat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menjadi penentu sama ada bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin kekal atau digantikan daripada jawatan Ketua Pembangkang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan membawakan isu jawatan Ketua Pembangkang ke dalam mesyuarat di kalangan Ahli Parlimen PN yang tarikhnya akan ditentukan kelak.
“Perkara ini akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Parlimen PN nanti.
“Mesyuarat Ahli Parlimen PN itu nanti akan menentukan siapa yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Spekulasi jawatan Ketua Pembangkang timbul susulan pelucutan keahlian Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Ia sekali gus menyebabkan Hamzah dan lima lagi ahli Parlimen lain iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang); Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Kapten Azahari Hassan (Padang Rengas) kini berada di blok Bebas.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali melihat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah individu yang layak dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Hamzah.
Pasa masa sama, kedua-dua mereka menyatakan Hamzah menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang dengan berkesan dan pemecatannya dari Bersatu merupakan satu kerugian besar terhadap parti tersebut.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, pelantikan Ketua Pembangkang adalah urusan keseluruhan ahli Parlimen di blok yang menyokong pembangkang.
Katanya, beliau percaya secara dasarnya PN akan membuat perbincangan dalam kalangan ahli Parlimen gabungan itu untuk memutuskan perkara tersebut.
“Tetapi akhirnya proses pemilihan dan pelantikan akan dibuat oleh seluruh ahli Parlimen pembangkang dan jika diukur daripada sokongan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempunyai 19 ahli Parlimen di belakangnya buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Saiful turut mencabar Bersatu untuk menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Pembangkang untuk menentukan sejauh mana sokongan ahli Parlimen terhadapnya.
“Di sini saya hendak melontarkan cabaran kepada Bersatu, cuba namakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Pembangkang. Nanti kita boleh tahu berapa ramai yang menyokong beliau,” katanya. – UTUSAN










