KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta kepimpinan tertinggi parti meneliti kembali keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salah berkata, pendirian Pemuda mungkin dilihat sebagai jalan yang tidak popular, namun ia dibuat demi kepentingan parti dalam jangka panjang.
“Kalau kita dalam Kerajaan Perpaduan, kita bukan selamatkan UMNO, tetapi menafikan suara akar umbi, kita bunuh UMNO dari dalam, dan di sinilah sebenarnya Pemuda pilih jalan tidak popular.
“Mungkin dilihat jalan tidak popular, sunyi, tidak ada siapa nak ikut tetapi percayalah ini adalah jalan terbaik demi parti. sebab itu kita baru-baru ini konvesnyen desak agar UMNO tarik diri dari Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Pun begitu, itu suara kita bawa, tetapi keputusan parti kekal dalam Kerajaan Perpaduan sampai habis penggal, kita sebagai Pemuda kita akur sebab kita percaya kepimpinan ada pertimbangan yang dilihat dari atas tetapi disebabkan ini suara akar umbi di bawah.
“Masih belum terlambat untuk menilai dan merenung kembali keputusan secara matang dan atas semangat itu. Sekali lagi pemuda UMNO ingin suarakan pandangan, bukan untuk cabar tetapi renung dan bahaskan secara lebih mendalam,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoal adakah kepercayaan di peringkat akar umbi meningkat dalam keadaan UMNO kini mempunya kuasa dalam Kerajaan Perpaduan.
“Menteri UMNO bagus, semuanya baik tetapi adakah cukup untuk akar umbi di bawah? Hari ini kita rasa selamat sebab ada menteri UMNO dalam pentadbiran, kita boleh tipu diri kita, kita ada pentadbiran, kita dalam kerajaan, kita boleh kata rakyat sokong kita sebab kita dalam kerajaan.
“Hakikatnya apa? tidak begitu. Data tunjukkan Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut kita tewas, jumlah kerusi semakin kecil. Walaupun tewas, kita bisik di telinga kata kita okay, walhal di peringkat akar umbi jauh beza sekali,” katanya.
Katanya lagi, UMNO perlu berdepan dengan realiti mengenai krisis kepercayaan rakyat khususnya membabitkan kerjasama dengan DAP.
“Walaupun ada pemimpin UMNO duduk dengan DAP, dia kata DAP boleh berubah, tetapi saya tidak pernah dengar DAP cakap UMNO ini baik. Yang saya dengar, Presiden dapat Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dikutuk, dicaci,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya lagi, kedudukan sebagai kerajaan pada hari ini tidak menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang, khususnya jika krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi terus dibiarkan.
“Benar, berada dalam kerajaan mempunyai kelebihan dan perkara itu tidak dinafikan. Namun, jika kelebihan berada dalam kerajaan dijadikan ukuran mutlak untuk menjamin kemenangan pilihan raya, sudah tentu UMNO tidak akan tewas sebelum ini ketika parti memegang tampuk pemerintahan.
“Ketika itu, Perdana Menteri datang daripada UMNO dan parti berada sepenuhnya dalam kerajaan, namun kekalahan tetap berlaku. Justeru, iktibar perlu diambil bahawa kedudukan dalam kerajaan bukan jaminan mutlak, sebaliknya keyakinan dan kepercayaan rakyat adalah penentu sebenar kemenangan,” katanya. – UTUSAN










