PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
“Perkara ini kita sudah bincang semalam (malam tadi) dan kita dah ambil keputusan untuk tidak menghantar calon bagi maksud PRK berkenaan.
“Bagaimanapun, PN akan terus memantau perkembangan PRK dan calon yang akan bertanding dalam PRK itu,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi itu selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada jam 1.46 pagi, kurang seminggu selepas beliau memenangi kerusi DUN Lamag bagi penggal kedua.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mempertahankan kerusi Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Dalam arena politik nasional, Allahyarham mula berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada November 1999 dan terus kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal berturut-turut. – UTUSAN










