Perikatan Nasional goyah, lima pemimpin letak jawatan

Perikatan Nasional goyah, lima pemimpin letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) kini goyah selepas lima pemimpin utama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan mereka di dalam gabungan itu.

Ia dimulai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa esok (1 Januari 2026).

Menyusul keputusan bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa pada Khamis ini.

Mengambil keputusan sama ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker meletak jawatan tersebut juga berkuat kuasa esok.

Dengan keputusan peletakan jawatan secara mengejut oleh lima pemimpin utama Bersatu yang memegang jawatan penting dalam PN itu meletakkan gabungan tersebut yang dianggotai oleh Pas, Gerakan dan MIPP dipuncak krisis dan semakin goyah.

“Salam. Untuk makluman semua, saya telah membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi PN mulai 1 Januari 2026. Surat rasmi akan saya susuli dalam tempoh yang segera.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kepemimpinan PN yang telah memberi sepenuh sokongan kepada saya,” kata Muhyiddin menerusi kenyataan semalam.

Krisis dalam PN dilihat mula tercetus selepas beberapa pihak mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN selepas kekalahan PN teruk PN pada Pilihan Raya Negeri di Sabah baru-baru ini.

Ia semakin panas selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu lima daripada Bersatu dan tiga daripada Pas menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Dengan penarikan sokongan itu memaksa Mohd. Shukri meletak jawatan.

Ia bertambah membara selepas ADUN Kuala Perlis merangkap Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik menjadi Menteri Besar Perlis baharu.

Susulan pelantikan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas tidak akan menganggotai barisan Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri pada Khamis lalu.

Kata Takiyuddin, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri.

Bagaimanapun Pas akan mengekalkan keharmonian di Perlis dan menyokong kerajaan baharu pimpinan Bersatu namun tidak akan memegang sebarang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pendekatan kepemimpinan tertinggi Bersatu membenarkan rampasan kuasa berlaku di Perlis boleh ditafsir bahawa parti itu sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas.

Katanya, peristiwa berkenaan wajar mendorong Pas untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu.

Katanya, jika Pas kekal tenang dan mengizinkan rampasan kuasa itu berlaku, ia akan memberi gambaran bahawa Pas bukan parti yang mudah bertindak atas emosi.

“Malahan Pas mungkin akan dianggap sebuah parti yang mempunyai tahap kematangan politik luar biasa. Namun, untuk membawa perubahan besar dalam lanskap politik negara, tenang dan matang sahaja tidak mencukupi.

“Pas perlu dilihat sebagai sebuah parti yang penuh iltizam untuk membina harapan dan masa depan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut satu sumber dari Bersatu, Pas dijangka akan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu di tiga negeri susulan ketegangan berpanjangan antara kedua-dua parti itu yang kini berada pada tahap kritikal.

Kata sumber itu, satu mesyuarat tertutup telah diadakan bagi membincangkan secara khusus hubungan Pas dengan Bersatu, termasuk implikasi politik sekiranya perpisahan itu dimuktamadkan di peringkat negeri.

“Dalam perjumpaan mereka, perkara ini memang dibincangkan. Namun setakat ini saya belum melihat sebarang keputusan atau kenyataan rasmi untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu di Terengganu, Kelantan dan Kedah, kecuali Perlis yang lebih awal menunjukkan pendirian berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN