Dari ‘terpinggir’ ke kerusi Menteri Besar

Dari ‘terpinggir’ ke kerusi Menteri Besar

ABU Bakar Hamzah memulakan tugas sebagai Menteri Besar baharu di pejabat Menteri Besar, Kangar, Perlis semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya menguasai kerajaan negeri Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nama Abu Bakar Hamzah tidak dipilih sebagai Exco ketika dua wakil rakyat Bersatu yang lain tersenarai.

Abu Bakar ketika itu adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Timbalan Pengerusi PN Perlis. Mengikut hierarki, beliau sekurang-kurangnya Exco kanan.

Setahun kemudian pada 2023, nama Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis sekali lagi tercicir daripada lantikan Exco. Beliau memilih untuk tidak mengalah sebaliknya bangkit melupakan kekecewaan tidak dipilih sebagai Exco. Beliau meneruskan kerja sebagai wakil rakyat di Kuala Perlis dengan cemerlang.

Selain rakyat semua peringkat disantuni, banyak program berskala besar diatur dan dilaksanakan di Kuala Perlis. Pesta Air Kuala Perlis, Malam Citrawarna Kuala Perlis dan banyak lagi. Kuala Perlis meriah, rakyat gembira hasil ‘air tangan’ Pak Su Bakar (Abu Bakar) itu.

Selepas dua kali tidak terpilih, Abu Bakar akhirnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri dan memegang portfolio pelancongan pada 2024 yang sangat bertepatan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Tidak sampai sebulan di kerusi Exco itu, Abu Bakar melancarkan kalendar pelancongan Perlis yang telah menjadi salah satu penanda aras kepada kejayaan menarik lebih tiga juta pelancong ke Perlis pada tahun 2025.

Bagaimanapun, krisis politik melanda negeri ini sejak minggu lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri Ramli hilang sokongan majoriti mudah seterusnya meletak jawatan sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan membuka ruang kepada lantikan Menteri Besar baharu.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan dan pertimbangan terbaik dalam memilih Menteri Besar baharu tersebut demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri ini.

Baginda melantik Abu Bakar mengisi jawatan berkenaan selepas difahamkan bertemu seorang demi seorang ADUN sebelum majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar itu.

Serentak dengan itu, Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu keputusan tersebut diterima buat masa ini kerana ia dibuat setelah baginda berfikir secara mendalam demi kemajuan negeri.

Baginda juga menyeru semua pihak agar dapat menghentikan spekulasi berhubung pelantikan Menteri Besar baharu itu dengan usaha dan fokus selepas ini perlu ditumpukan kepada kebaikan negeri agar terus mara ke hadapan.

Pelantikan Abu Bakar itu sekali gus menamatkan kemelut Menteri Besar Perlis sejak minggu lalu. Takdir menentukan daripada pemimpin yang dipinggir kini ke kerusi Menteri Besar.

Abu Bakar dalam sidang akhbar pertama beliau sebagai Menteri Besar yakin PN di Perlis akan terus kekal mentadbir sebagai satu keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN