GRS sah letak calon tiga kerusi rebutan UPKO

GRS sah letak calon tiga kerusi rebutan UPKO

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah akan meletakkan calon di tiga kerusi tradisi miliknya, Kiulu, Tamparuli dan Limbahau, sekali gus menolak hasrat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat selepas perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilakukan secara telus dan ikhlas bagi mengelak sebarang pertembungan antara parti dalam kerajaan perpaduan negeri.

“Kita berbincang dengan penuh kejujuran dan mengharapkan semangat yang sama daripada PH. Tiga kerusi ini sememangnya ditandingi GRS sebelum ini dan kita berharap ia dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan UPKO yang dilaporkan berhasrat meletakkan calon di beberapa kerusi milik GRS, termasuk tiga kerusi berkenaan.

Masidi berkata, langkah itu hanya akan membuka ruang kepada pertembungan tidak perlu yang boleh menggugat kekuatan kerajaan negeri.

“Itu urusan dalaman mereka (UPKO-PH),” katanya ringkas.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Katanya, walaupun kerajaan di bawah pimpinan GRS masih mempunyai kelemahan, namun banyak inisiatif baharu telah dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Sekiranya berlaku pertukaran kerajaan, semua usaha itu akan tergugat kerana kerajaan baharu pasti mahu bermula dari kosong dan akhirnya rakyat menjadi mangsa,” katanya.

Katanya, pertukaran kerajaan yang berulang hanya akan menjadikan Sabah sebagai medan ujikaji politik tanpa penyelesaian sebenar terhadap masalah rakyat.

“Jika kerajaan baharu tidak lebih baik daripada yang dijatuhkan, proses tukar-menukar ini akan berterusan. Masa terbuang, pembangunan terbantut dan politik kita kekal sebagai Political Experiment, bukannya wadah membina kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN