Bersatu beri peluang pemimpin dipecat, digantung kembali

Bersatu beri peluang pemimpin dipecat, digantung kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi peluang kepada ahli yang digantung dan dipecat untuk kembali bersama parti, sebagai sebahagian usaha memperkukuh semula perpaduan dan kekuatan dalaman.

Menurut sumber dalaman parti, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan malam kelmarin dan berlangsung dalam suasana harmoni.

Semua pimpinan, katanya, sependapat bahawa kekuatan Bersatu perlu diperkasa melalui penyatuan semula mereka yang dipecat dan digantung dengan semangat setia kawan dalam parti.

Katanya, usaha penyatuan itu turut melibatkan Ahli MPT Bersatu, Tan Sri Noh Omar yang memainkan peranan sebagai orang tengah dalam perbincangan tersebut bagi membuka ruang kepada ahli lama kembali menyumbang tenaga.

“Mesyuarat turut meneliti beberapa cadangan untuk memperkukuh struktur organisasi serta memperhebatkan gerak kerja di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, mesyuarat MPT Bersatu dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang turut membincangkan hasil Mesyuarat Biro Politik dan penubuhan Lembaga Rayuan baharu dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Antara ahlinya ialah Datuk Seri Zulkifli Noordin, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Datuk Fahimee Ismail. Lembaga itu dijangka berperanan menilai semula kes-kes penggantungan dan pemecatan ahli terdahulu.

Sumber turut memaklumkan bagaimanapun pembentukan lembaga tersebut menimbulkan tanda tanya apabila terdapat dakwaan beberapa ahli berpihak kepada kumpulan tertentu dalam parti.

“Perkara ini boleh menjejaskan keyakinan ahli terhadap keadilan proses rayuan dan usaha penyatuan yang sedang digerakkan. Kredibiliti lembaga mesti dijamin agar keputusan dibuat secara adil dan bebas,” katanya.

Mesyuarat turut meneliti perkembangan politik semasa termasuk isu Perjanjian Timbal Balas Perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, selain membincangkan strategi memperkukuh kedudukan parti menjelang PRN akan datang.

Bersatu baru-baru ini mula bertindak termasuk memecat dan menggantung ke­ahlian tujuh pemimpinnya yang didapati bersekongkol menentang Muhyiddin sebagai Presiden.

Tindakan tersebut diambil menerusi Lembaga Disiplin selepas siasatan mendapati mereka melanggar Perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan ahli termasuk isu 120 akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan cubaan menjatuhkan Muhyiddin.

Mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris; Ketua Bersatu Bahagian Pengerang, Mohd. Faizal Asmar; Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd. Fadhli Ismail dan Ketua Bersatu Bahagian Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi.

Selain itu, keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut digantung selama satu penggal, manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah pula digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×