KANGAR: Gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mampu menang satu daripada 15 kerusi DUN di negeri ini yang selebihnya dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Ramai melihat PKR Perlis mula menyepi selepas itu, namun hakikatnya parti diketuai Noor Amin Ahmad itu terus bergerak agresif khususnya dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan rakyat dalam menghadapi PRU16.
Jika memasuki gelanggang PRU16 dengan kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas semangat kerajaan Perpaduan, gabungan berkenaan mempunyai kelebihan untuk merampas kembali negeri ini.
Sudah pastinya menjelang PRU16, PKR mula mengintai kerusi yang dilihat mempunyai potensi antaranya seperti di Sena, Chuping dan Mata Ayer selain mengekalkan kerusi Indera Kayangan.
Bagaimanapun, formula pengagihan kerusi berkenaan akan terserah kepada kepemimpinan tertinggi PKR.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin berkata, PKR di Perlis tidak pernah menyepi selepas PRU15 sebaliknya terus bergerak dengan pelbagai aktiviti dan program mendekati rakyat.
Selain itu, katanya, kerjasama PKR khususnya AMK negeri dengan Pergerakan Pemuda UMNO juga berjalan dengan baik khususnya dalam bersama-sama menarik sokongan golongan muda yang sebelum ini memihak kepada PN.
“Saya optimis orang muda khususnya dapat menilai banyak perubahan yang telah dibawa oleh kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di Perlis, golongan muda dan rakyat dapat menilai sendiri bagaimana prestasi kerajaan negeri yang dilihat gagal membela nasib mereka khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan pembangunan negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ahmad Azzin, dalam PRU16, AMK menyasarkan untuk mengetengahkan calon dari sayap parti itu di tiga kerusi DUN yang berpotensi seperti Mata Ayer, Chuping dan Sena.
“Kita lihat macam di DUN Sena, kerusi tersebut memang telah dimenangi calon PKR pada PRU14. Di Mata Ayer dan Chuping juga sangat berpotensi besar untuk dimenangi calon PKR jika kita hadir sebagai kerajaan Perpaduan dengan BN.
“Keyakinan rakyat bertambah kuat, apabila kerajaan Perpaduan telah berjaya membawa satu perubahan, walaupun benda itu belum sempurna dan ada kepincangan, tapi anak muda sudah nampak perubahan tersebut.
“AMK negeri turut melaksanakan pelbagai usaha dalam menarik sokongan pengundi muda termasuk dengan memberi pendedahan mengenai inisiatif-inisiatif dilaksanakan kerajaan Perpaduan menerusi laman sosial. Kita juga turun ke bawah mendekati golongan ini meliputi pelbagai segmen antaranya seperti sukan, permotoran dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN










