Wan Saiful tuduh Azmin ugut ketua bahagian babit isu SD

Wan Saiful tuduh Azmin ugut ketua bahagian babit isu SD

WAN Saiful Wan Jan (duduk, tiga dari kiri) ketiga sidang akhbar Ahli Majlis Tertinggi Bersatu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa mengugut beberapa ketua bahagian parti itu supaya menarik balik daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, ugutan tersebut dibuat terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa ketika kedua-duanya dipanggil bertemu Mohamed Azmin.

Wan Saiful berkata, pertemuan itu berlaku pada Selasa, 19 Ogos 2025 lalu di ibu pejabat Bersatu yang turut dihadiri beberapa Ketua-Ketua Bahagian yang lain.

“Mereka juga ada di sini (dalam sidang akhbar), boleh mengesahkan bahawa dalam perjumpaan itu mereka diugut oleh Azmin Ali bahawa mereka tidak akan dapat watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya sekiranya mereka tidak menarik balik SD yang hendak menjatuhkan Presiden.

“Sudah pasti Datuk Suhaimi dan Saudara Shukor tidak setuju untuk tarik balik sebab dokumen itu bukan untuk jatuhkan Presiden. Mereka tak pernah tanda tangan apa-apa dokumen untuk menjatuhkan Presiden, jadi macam mana nak tarik balik?” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tegas Wan Saiful, dokumen yang ditandatangani tumpuannya adalah tidak mahu usul yang membawa mudarat kepada parti dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu.

“Tetapi Azmin berkeras dengan ugutan bahawa mereka berdua tidak akan jadi calon kalau tak tarik balik. Malah saya dimaklumkan bahawa Azmin juga ada berkata bahawa saya sendiri pun tidak akan jadi calon,” katanya.

Katanya, tindakan Mohamed Azmin itu memberi gambaran bahawa kuasa Presiden untuk memutuskan calon pilihan raya adalah terletak di tangannya, bukan Presiden.

“Kalau ditelusuri kronologi apa yang berlaku, kami berpandangan bahawa Azmin Ali lah pemimpin atasan yang pertama yang menggunakan naratif songsang ini untuk membuat tuduhan dan ugutan kepada Datuk Suhaimi dan Saudara Shukor,” katanya.

Satu lagi ugutan yang dibuat Mohamed Azmin adalah terhadap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dengan mengarahkan tindakan disiplin dikenakan terhadap Timbalan Ketua BPN, Azrudin Idris.

“Saya tidak tahu apa yang Azmin marah sangat kepada Saudara Azrudin, tetapi Azmin ugut Tan Sri Rahim bahawa jika tidak buat aduan disiplin, dia akan pastikan tidak ada sebarang bantuan disalurkan kepada Melaka dalam menghadapi pilihan raya negeri nanti.

“Hebat Azmin ini. Satu parti dia pegang dan siapa tidak sokong dia tidak dapat peruntukan. Saya ingat Anwar Ibrahim sahaja yang macam ni, rupanya Azmin pun sama. Anak murid belajar dari cikgu,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful turut berkata tuduhan turut dibuat terhadapnya oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

“Antaranya saya dituduh menggunakan butiran palsu dalam SD. Saya pelik betul dari mana dia dapat maklumat ni. Mana yang palsunya?” soalnya.

Susulan daripada itu, jelas Wan Saiful, pihaknya akan membuat satu laporan terhadap Lembaga Disiplin bagi tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN