SHAH ALAM: Pimpinan sayap komponen Barisan Nasional (BN), Timbalan Ketua Pemuda MIC, Kesavan Kandasamy hadir Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Angkatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Anak Muda (Armada) Kelapan, di sini, hari ini.
Selain beliau antara yang hadir dalam konvensyen tersebut iaitu Pemangku Pemuda Parti Gerakan, Lee Boon Shien dan Ketua Pemuda Parti India Rakyat Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran.
Sayap komponen PN yang juga sebahagian daripada Payung Besar Melayu iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Wira Putra, Dr. Mohamed Izwan Zainal, Ketua Wira Perkasa Malaysia, Zool Amali Hussin dan Ketua Penerangan Pemuda Berjasa, Meor Azim juga hadir.
Pengerusi Tetap Armada, Muhamad Amerul Muhamad, berkata, secara keseluruhan sekurang-kurangnya 350 perwakilan iaitu lebih satu perempat daripada 780 yang layak hadir pada perhimpunan tersebut yang berlangsung bersama PAT Bersatu Kelapan 2025.
Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan pelawaan Pas kepada MCA dan MIC untuk menyertai PN bukan sekadar percaturan politik, sebaliknya berpotensi mengeruhkan lagi hubungan dengan BN yang sedia tegang sejak gagalnya kerjasama Muafakat Nasional.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, tindakan Pas itu memberi isyarat jelas bahawa parti berasaskan kaum bukan Melayu tidak lagi mempunyai masa depan dalam BN. – UTUSAN










