PETALING JAYA: Pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas kira-kira 3.2 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM1.6 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan penahanan enam individu termasuk penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan sindiket ‘counter setting’.
Dalam operasi di Selangor itu, sebanyak 75 kepingan emas bernilai hampir RM400,000 turut disita.
Barangan lain yang disita adalah sebidang tanah lot, rumah, beberapa kenderaan mewah, pelbagai jenis beg tangan dan jam tangan berjenama sebanyak 20 utas yang dianggarkan bernilai RM100,000 serta wang tunai RM20,000.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, ia merupakan hasil penggeledahan menerusi Op Rentas yang dilakukan pada 9 dan 11 September lalu.
“Lima daripada pemilik barangan yang disita merupakan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di lapangan terbang dipercayai menerima wang daripada ejen-ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini,” katanya menerusi platform Tiktok hari ini.
Sebelum ini, seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa ditahan kerana disyaki terbabit sindiket counter setting yang bertujuan melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penahanan wanita berusia 40-an itu menjadikan keseluruhan 31 individu diberkas, termasuk 19 pegawai penguat kuasa yang bertugas di Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Rentas dijalankan SPRM.
Setakat ini, 28 daripada 31 individu ditahan direman untuk siasatan lanjut antara empat hingga tujuh hari bermula Rabu lalu.
Selain 19 pegawai agensi penguat kuasa, baki yang ditahan reman membabitkan lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam.
Ahmad Khusairi berkata, SPRM Selangor juga membekukan 70 akaun menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah sekitar RM3.3 juta
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN