PRN17 penyertaan terakhir saya dalam politik Sabah – Hajiji

PRN17 penyertaan terakhir saya dalam politik Sabah – Hajiji

HAJIJI merasmikan Dewan Datuk Seri Hajiji Noor di Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, Tuaran. – UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bakal menjadi penyertaan terakhir beliau dalam dunia politik selepas lebih tiga dekad berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Hajiji, yang kini berusia 70 tahun, berkata beliau tidak pernah menyangka untuk memegang jawatan tertinggi sebagai Ketua Menteri, namun menganggap ia adalah ketentuan Allah dan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Perjuangan politik ada hadnya dan perlu diteruskan oleh generasi baharu. Sebahagian besar hidup saya, selama 35 tahun, telah saya serahkan untuk berkhidmat kepada rakyat. Justeru, PRN17 adalah penyertaan terakhir saya,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan Datuk Seri Hajiji dan menghadiri majlis persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, Tuaran, di sini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata, sekiranya bukan kerana memegang tanggungjawab sebagai ketua parti serta kerajaan, beliau sudah lama berundur daripada arena politik.

“Kalau bukan kerana saya Pengerusi GRS, Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Menteri, saya sudah lama ingin rehat. Namun kerana tanggungjawab, saya teruskan juga,” katanya.

Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman lebih enam penggal, berkata keikhlasan kunci dalam perjuangan politik, meskipun sering berdepan pelbagai cabaran serta kritikan.

“Dalam politik, kita tidak boleh lari daripada dikecam. Tetapi selagi kita jujur dengan rakyat, Allah akan memberkati perjuangan kita,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang memimpin kerajaan negeri, selain berkhidmat kepada rakyat Sabah sepanjang tempoh panjang dalam kerjaya politiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN