PETALING JAYA: Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli parti dilihat seolah-olah tidak mengendahkan amaran UMNO.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, langkah PKR itu bukan sahaja ibarat menguji kesetiaan dan kesetiakawanan antara kedua-dua parti malah mencerminkan ketegangan yang semakin memuncak dalam kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Umum mengetahui Tengku Zafrul telah meninggalkan UMNO dan memohon menjadi ahli PKR.
“Pada 30 Mei lalu, Setiausaha Agung UMNO telah menegaskan pendirian bahawa tidak wajar mana-mana parti komponen menerima keahlian beliau bagi mengelakkan ketidakharmonian. Kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran juga akan terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, akhbar ini melaporkan, permohonan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR telah diterima dua minggu lalu.
Tengku Zafrul berkata, beliau kini merupakan ahli PKR Cabang Ampang.
Harris berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut memandang serius tindakan Tengku Zafrul walaupun parti itu belum menerima surat peletakan jawatan beliau secara rasmi.
“Kata Asyraf Wajdi, amat tidak wajar bagi mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Menurut Harris, pengesahan keanggotaan Tengku Zafrul itu memberi isyarat kepada UMNO bahawa parti berkenaan hanyalah penumpang dan bukannya pemandu dalam kerajaan.
“Tindakan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO juga mengukuhkan hujah bahawa parti itu sudah tidak lagi menepati hasrat rakyat Malaysia, seperti yang terbukti menerusi keputusan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri.
“PH telah bergabung dengan BN dan pada masa sama bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara berasingan. Dalam erti kata lain, PH tidak peduli apa akan berlaku kepada BN, yang penting PH selamat.
“Kesetiaan dan keikhlasan PH-BN hanya terhad untuk memastikan kelompok Putrajaya selesa dan dilindungi,” katanya. – UTUSAN










