ALOR SETAR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kedudukan orang Melayu di negara ini semakin terancam akibat perpecahan sehinggakan golongan itu dikatakan bukan lagi dominan dalam kerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu justeru mengajak orang Melayu supaya mengenepikan perbezaan politik buat sementara waktu dan memberi keutamaan kepada perpaduan demi masa depan dan kestabilan negara yang lebih terjamin.
“Hari ini kita nak satukan orang Melayu kerana bila berpecah kita jadi lemah. Kita tahu bersatu teguh bercerai roboh, orang Melayu sudah hilang kuasa walaupun masih ada dalam kerajaan tetapi mereka bukan dominan.
“Sebab itu kita kena bersatu semula bukan sebagai parti tapi sebagai orang Melayu kerana kita hendak selamatkan negara kita, tak ada orang lain nak selamat melainkan kita. Syaratnya orang Melayu kena bersatu semula seperti mana dalam UMNO pada 1946 ketika melawan Malayan Union,” katanya pada Himpunan Mandat Negarawan di sini, malam tadi.
Dr. Mahathir berkata, penyatuan semula bangsa Melayu bukan bertujuan meminggirkan kaum lain sebaliknya untuk memastikan suara dan kepentingan semua rakyat dapat dijaga melalui kestabilan politik yang mampan.
“Kita nak berjuang untuk Melayu, pada masa sama bukan menolak kaum lain. Kita perlu jaga supaya orang Melayu mempunyai kekuatan yang cukup untuk memelihara negara ini. Inilah perjuangan yang sedang kita lakukan,” katanya.
Kata beliau, sejarah membuktikan bangsa Melayu pernah bersatu di bawah satu entiti politik yang kukuh, namun situasi itu berubah apabila wujudnya pelbagai parti baharu yang menyebabkan sokongan menjadi berpecah.
Tambanya, orang Melayu pernah bersatu di bawah satu parti yang kuat seperti UMNO, namun perpecahan berlaku menyebabkan wujudnya lima parti lain sehinggakan tiada pihak yang boleh menang secara majoriti untuk mendirikan kerajaan.
“Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum, lain agama dan budaya tapi negara kita aman dan kita nak terus aman supaya kita dapat hidup sempurna. Caranya kita wujud kerjasama antara kaum di negara ini. Kita ada parti perkauman Melayu, Cina, India, Orang Asli tapi kita ada pakatan supaya masalah masing-masing dapat dikemukakan dalam pakatan ini.
“Bukan kita tolak kaum lain, mereka boleh bersama kita, kita cantum dalam satu pergerakan. Tetapi kita kena jaga hak kita, kalau kita tak jaga hak kita, kita akan hilang kuasa,” katanya.
Beliau berkata, orang Melayu sebagai kaum majoriti bertanggungjawab untuk menyediakan masa hadapan yang lebih baik kepada generasi akan datang terutama mewarisi keharmonian dan kestabilan negara.
“Kita bukan tamak, kita sanggup berkongsi dengan kaum lain, tetapi jangan sampai tahap orang lain ambil alih negara ini, berpada-pada, jangan kongsi sampai hilang kuasa, hilang negara,” katanya.
Dr. Mahathir turut mengingatkan agar rakyat mengambil pengajaran daripada negara lain yang gagal mengekalkan keamanan hanya kerana perpecahan dalaman meskipun perbezaan mereka tidak begitu besar. – UTUSAN