Muhyiddin paling layak ganti Anwar – Bersatu Selangor

Muhyiddin paling layak ganti Anwar – Bersatu Selangor

MOHAMAD SHAFIQ ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai calon paling layak untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berikutan rekod pentadbiran cemerlang serta sokongan yang masih kukuh dalam kalangan rakyat.

Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, Muhyiddin memiliki kualiti kepemimpinan yang terbukti mampu memperkukuh dan memulihkan negara ke landasan yang tepat.

Malah, katanya, Muhyiddin bukan sahaja memiliki tahap populariti yang tinggi berbanding pemimpin lain dalam Perikatan Nasional (PN), malah keprihatinannya terhadap rakyat turut terserlah dalam siri ucapannya, khususnya semasa Himpunan Turun Anwar yang diadakan semalam.

“Beliau jelas meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi. Rakyat memerlukan seorang pemimpin yang memahami denyut nadi mereka serta meneliti masalah secara menyeluruh dan terperinci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Shafiq, ketika negara berdepan saat genting semasa pandemik Covid-19, pentadbiran Muhyiddin turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik dalam pengurusan bencana.

Jelasnya, dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin turut memberi manfaat meluas merentasi pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Keputusan untuk menampilkan beliau sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri dan figura utama dalam semua pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 adalah langkah strategik yang tepat.

“Ia bukan sahaja menoktahkan persoalan calon Perdana Menteri PN, malah diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN