SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran timbalannya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang berlangsung semalam.
Perdana Menteri itu berkata, pimpinan parti mencapai keputusan yang baik dalam mesyuarat tersebut yang berlangsung kira-kira empat jam dekat kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
“Semalam hadir, hadir. Kita bincang keputusan baik alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Temu Anwar Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia, MPP PKR mengesahkan keputusan pemilihan semua 220 cabang parti itu yang berlangsung di seluruh negara pada baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Dr. Fuziah Salleh berkata, mesyuarat MPP berlangsung semalam berpuas hati mengesahkan keputusan itu setelah mendengar pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan juruaudit digital antarabangsa selaku pihak ketiga.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan peringkat cabang yang berlangsung pada April lalu itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan akar umbi dan penganalisis politik selepas kem yang dikatakan menyokong Mohd. Rafizi tewas.
Antara yang tewas itu termasuklah pemimpin dalam Kabinet seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad apabila gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tewas di Johor Bahru.
Susulan itu, timbul dakwan Mohd. Rafizi meluahkan hasrat untuk meletak jawatan dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya yang diadakan selepas mesyuarat MPP PKR pada 23 April lalu.
Sementara itu, semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada akan bertanding pada Pemilihan PKR Peringkat Pusat pada 8 dan 9 Mei ini.
Beliau berkata, sudah mengadakan pertemuan hampir empat jam dengan Mohd. Rafizi selain dua atau tiga sesi bersama Anwar.
Saifuddin berkata, tarikh akhir penyerahan borang pencalonan yang sepatutnya semalam dilanjutkan kepada 8 Mei. – UTUSAN










