YB Anfaal ada misi menjaga kawasan ‘tabung oksigen’

YB Anfaal ada misi menjaga kawasan ‘tabung oksigen’

ANFAAL SHARI bergambar ersama pelajar sekolah dalam satu program sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK di kawasan pinggir bandar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer yang diwakili Anfaal Shari mempunyai banyak kawasan menarik. Nama-nama seperti Bukit Lagong; Rawang Bypass dan Hutan Lipur Kanching sudah tidak asing bagi mereka yang ditinggal di ibu negara, seringkali menjadi tumpuan.

Tidak keterlaluan rasanya kalau kawasan berkenaan dikatakan menjadi ‘tabung oksigen’ untuk penduduk berhampiran termasuk Kuala Lumpur.

Apa yang paling penting, ‘ketua’ kawasan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anfaal Saari juga seorang individu yang cintakan aktiviti luar dan flora serta fauna.

Meskipun baru hampir setahun sebagai ADUN kawasan berkenaan, beliau sudah mempunyai misi dan visi jelas terhadap pembangunan serta penambahbaikkan beberapa infrastruktur yang bukan hanya tertumpu di kawasan hijau semata-mata.

Menurut anak kepada bekas ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib ini, antara isu kini sedang diberi fokus untuk diselesaikan termasuk pembinaan dua masjid yang terletak di Taman Selayang Mutiara dan Selayang Pandang.

“Pembinaan masjid di Selayang Pandang itu sendiri sudah 14 tahun tergendala sebab ia melibatkan banyak proses seperti tanah dan juga perbelanjaan. Kalau dulu kosnya RM1 juta, kini kos sudah menjadi RM2.5 juta.

“Malah apabila kos perbelanjaan meningkat, prosesnya bukan lagi di bawah unit kewangan negeri sebaliknya Kerajaan Persekutuan. Justeru saya terus beri sokongan agar tabung binaan masjid terus dibuka,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu Anfaal turut memberitahu, sebuah projek rumah terbengkalai yang berusia 21 tahun di kawasan DUN berkenaan turut berada dalam ‘senarai kerja’ beliau yang perlu diselesaikan.

“Saya sudah lihat sijil perjanjian jual beli (SnP) penduduk yang dikeluarkan pada tahun 2003. Bayangkan rumah masih tidak siap selepas 21 tahun.

“Malah ada pemilik yang sudah pun meninggal dunia dan sakit. Setakat ini saya sudah buat susulan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ia dimasukkan dalam senarai projek yang akan dibantu kementerian.

“Bagaimanapun, syarikat yang telah pun dilantik sebelum ini untuk menyiapkan projek rumah ini senyap,” katanya.

Tambah Anfaal, projek berkenaan kini diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Tanah Selangor dengan menelan belanja RM40 juta.

Selain memberi tumpuan kepada projek sakit, Anfaal berusaha memberi fokus terhadap pendidikan dan aspek sosial terutama dalam kalangan golongan muda.

Katanya, DUN tersebut turut mempunyai kelab ragbi yang bersaing dalam kejohanan liga tempatan.

“Selain itu, kita juga ada persatuan silat dan pelbagai kelab sukan lain untuk memberi peluang kepada golongan muda lebih aktif,” ujarnya.

Mengenai sektor ekonomi yang turut memberi sumbangan kepada penduduk, Anfaal berkata, kedudukan DUN Taman Templer terletak berhampiran pasar borong dan kawasan perindustrian membantu kepada pertumbuhan pembangunan selain peluang pekerjaan mahupun perniagaan.

Biodata
Nama: Anfaal Saari
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan University of Northumbria Newcastle.
Jawatan:
 ADUN Taman Templer
 Exco Pemba­ngunan Wanita dan Kebajikan Masya­rakat

“DUN ini agak padat tetapi tersusun dengan membahagi kepada beberapa kawasan sektor.

“Sebagai contoh ada kawasan pentadbiran berpusat yang menempatkan pejabat Majlis Perbandaran Selayang selain Air Selangor Sdn. Bhd. dan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Dari segi kebajikan, Pejabat DUN Taman Templer sentiasa dibuka dengan memberikan perhatian kepada masalah-masalah penduduk setempat terutama bagi golongan kurang berkemampuan atau warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN