MELAKA: Tindakan menyertai Pas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis diyakini tidak bercanggah dengan perlembagaan negeri kerana keputusan keluar parti telah dibuat lebih awal dari tarikh Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti diluluskan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, keputusan Muhammad Jailani adalah berlandaskan keikhlasan dan kesungguhan seorang wakil rakyat yang ingin memperjuangkan nasib rakyat.
Kata beliau, kesanggupan Muhammad Jailani meninggalkan keselesaan dinikmati adalah atas dasar kesedaran bahawa kerajaan negeri sekarang, bukanlah sebuah kerajaan yang wajar disanjungi.
“Apa yang pasti, tindakan beliau ini tidak bercanggah dengan perlembagaan yang ada kerana tindakan yang dibuat adalah lebih awal dari tarikh akta anti lompat parti dikuatkuasakan di Melaka.
“Saya yakin akan lebih ramai wakil rakyat yang ingin bersama dengan PN. Akhir kata, PN Melaka akan terus melangkah dan memperjuangkan nasib rakyat Melaka demi agama, bangsa dan negeri yang dicintai,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum menunggu Muhammad Jailani menghantar surat rasmi kepadanya.
Ibrahim berkata, ADUN Rembia itu tidak pernah mengisytiharkan keluar parti selama tiga penggal persidangan DUN Melaka, sebelum ini. – UTUSAN










