Papan iklan haram tumbang: Dua NGO lapor SPRM

Papan iklan haram tumbang: Dua NGO lapor SPRM

AZRUDIN Md. Idris (empat dari kiri) dan Puhat Bedol (tiga dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat di Pejabat SPRM Melaka di Alai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat isu berkaitan dua papan iklan haram yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini, yang disahkan tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Perpaduan Bersatu, Azrudin Md. Idris berkata, laporan itu dibuat untuk meminta SPRM menyiasat kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah.

Menurutnya, laporan itu juga dibuat susulan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin yang mengesahkan dua papan iklan tersebut tidak mempunyai lesen.

“Apa yang menimbulkan persoalan bagaimana dua papan iklan besar tersebut dilihat telah lama berada di lokasi kejadian dan kini diketahui umum bahawa ia beroperasi tanpa lesen yang sah dan tidak mendapat sebarang perlindungan insurans.

“Kita hendak tahu bagaimana papan iklan haram ini boleh diletakkan di tempat-tempat utama, adakah mungkin berlaku pembayaran under table (bawah meja) dan sebagainya.

“Saya mohon SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap agensi yang terlibat, kepemimpinan kerajaan negeri serta pegawai mereka yang terbabit dan bersubahat, jika berlaku perbuatan rasuah,” katanya selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Melaka, Alai hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang di negeri ini berhak membuat laporan kepada SPRM, sekiranya berasakan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah berhubung isu dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir yang disahkan tidak mempunyai lesen dikeluarkan PBT.

Rais berkata, semua PBT di negeri ini telah diarah melakukan pemantauan terhadap kewujudan papan iklan haram bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, seterusnya mengelak insiden tidak diingini kepada orang awam khususnya pengguna jalan raya.

Tambah Azrudin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, pihaknya turut menggesa SPRM melakukan siasatan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta salah guna kuasa penjawat awam di bawah Seksyen 23 akta sama.

Jelasnya, tidak sewajarnya Perbadanan Ketua Menteri (CMI) yang mengambil alih pengurusan hak eksklusif pengiklanan seluruh Melaka daripada Melaka Kini Sdn. Bhd. (MKSB) boleh terlepas pandang perkara tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab CMI bagi memastikan semua papan iklan yang didirikan di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut setiap spesifikasi yang telah digariskan bagi memastikan keselamatan orang awam,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah NGO Pas Melaka, Puhat Bedol berkata, SPRM wajar menyiasat perkara itu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan perbuatan rasuah.

“Saya hairan dan pelik bagaimana papan iklan yang besar boleh dibangunkan di jalan utama kawasan bandar yang sesak dan padat tanpa lesen yang sah daripada PBT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN