ALOR GAJAH: Trend kemenangan Pas menawan Kelantan sejak 1990 kerana para pengundi memilih parti dan bukannya calon, tidak akan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, disebabkan trend sedemikian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal meletakkan calon di situ tidak berani menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mempertaruhkan lambang Pas.
Menurutnya, DUN Nenggiri di bawah Parlimen Gua Musang amat berbeza daripada kerusi-kerusi lain di negeri itu, bersandarkan ketokohan Tengku Razaleigh Hamzah yang banyak membangunkan kawasan berkenaan.
“Namun sekarang rakyat di kawasan tersebut berasa kehilangan dan kecewa bila Gua Musang di bawah pembangkang. Dulu Ku Li (Tengku Razaleigh) bagi peruntukan ratusan ribu kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) tetapi sekarang tidak lagi.
“Saya turun ke Nenggiri sebelum ini dan menyelami hati dan perasaan penduduk di sana, memang mereka mahu calon Barisan Nasional (BN) menang untuk mudah mereka terus mendapat peruntukan dan menikmati pembangunan.
“Rakyat di sana perlu tahu hanya kerajaan pusat boleh membela nasib mereka kerana kerajaan Pas Kelantan tidak mampu membawa pembangunan untuk dinikmati,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR, Simpang Ampat di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 20,000 pengundi di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kampung orang asli menjadi faktor penentu calon BN boleh memenangi PRK DUN Nenggiri.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad berkata, tidak mustahil ketiga-tiga kawasan itu yang ditadbir dan diuruskan kerajaan Persekutuan mampu memberi sokongan 100 peratus kepada BN bagi merampas kembali kerusi berkenaan.
Tambah Ahmad, beliau bersetuju bahawa BN mampu memenangi Nenggiri kerana mempunyai pengundi di kawasan Kesedar, Felda dan kampung orang asli.
Katanya, beberapa buah kampung tradisi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga merupakan antara faktor menyumbang kemenangan calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani. – UTUSAN










