Melaka mohon semula bangunkan tambakan laut di Tapak UNESCO

Melaka mohon semula bangunkan tambakan laut di Tapak UNESCO

AB. RAUF Yusoh ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan memohon pertimbangan semula daripada Jabatan Warisan untuk membangunkan sebahagian kawasan tambakan laut yang telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia susulan penolakan permohonan yang dibuat pentadbiran terdahulu.

Menurut beliau, permohonan semula itu bagi merealisasikan pelaksanaan pembangunan di Kawasan Ekonomi Pesisir Pantai (SM-WEZ).

“UNESCO telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah bandaraya bersejarah yang mana lokasi diiktiraf itu meliputi kawasan tambakan laut. Kerajaan terdahulu telah berusaha untuk mendapatkan kelonggaran bagi kawasan di bawah UNESCO untuk dibangunkan, namun permohonan terbabit ditolak.

“Kerajaan negeri akan membuat permohonan baharu pada tahun ini juga. Walau bagaimanapun kerajaan negeri masih lagi membantu pihak konsesi mendapatkan kaedah pembangunan sesuai yang telah diwartakan ini,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) mengenai status kelulusan pembangunan di kawasan warisan agar tidak mengganggu SM-WEZ.

Dalam pada itu, Ab. Rauf memaklumkan, kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian penambakan laut bersama 29 syarikat konsesi dengan jumlah penambakan seluas 5,417.51 ekar.

Katanya, beberapa projek strategik berimpak tinggi sedang dalam pelaksanaan kajian teknikal sebelum diluluskan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Projek tersebut adalah Pelabuhan Baharu Utara, Pelabuhan Baharu Laut Dalam Selatan, pembangunan jeti kapal persiaran dan pembangunan chalet terapung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN