MELAKA: Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 didakwa dimungkiri menjadi antara punca Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Melaka itu turut berkata, persoalan berkenaan kos ganti rugi disebabkan melanggar aku janji ditandatangani sebagai calon Barisan Nasional (BN) sewaktu PRN Melaka akan dijawab apabila tiba masanya.
“Saya tidak sanggup berbohong dengan apa yang manifesto BN telah janjikan pada rakyat Melaka, kerana rakyat mengundi berpandukan dengan janji-janji yang kami telah nyatakan dalam manifesto PRN 2021.
“Khusus juga orang Melayu memberi undi kepada kami atas dasar tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) ketika itu. Saya dan rakan-rakan dijanjikan juga, apa pun berlaku UMNO, BN stand alone. Jadi pembangkang yang bermaruah, ‘No Anwar, No DAP’.
“Soal ganti rugi? Saya akan bercakap bila waktunya tiba,” katanya.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Muhammad Jailani telah melanggar aku janji yang ditandatangani semua calon BN sewaktu PRN Melaka.
Tegasnya, oleh itu Muhammad Jailani perlu menanggung segala kos ganti rugi yang telah termaktub dalam aku janji berkenaan.
Bagaimanapun, Ab. Rauf tidak mendedahkan jumlah yang perlu dibayar Muhammad Jailani, tetapi menjelaskan nilainya telahpun diketahui semua bakal calon sebelum diangkat menjadi calon BN. – UTUSAN










