ALOR GAJAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia disandang Datuk Muhammad Jailani Khamis yang telah menyertai Pas, berkemungkinan tidak dikosongkan kerana Barisan Nasional (BN) Melaka terutamanya UMNO tidak bersedia berdepan pilihan raya kecil (PRK).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, isu itu sepatutnya boleh dijadikan alasan oleh kepemimpinan kerajaan negeri untuk mengadakan PRK, iaitu sebagai medan terbaik menguji tahap penerimaan rakyat terhadap mereka memandangkan tempoh penggal DUN Melaka bakal genap tiga tahun pada November ini.
Tegasnya, PN telah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan sama ada PRK DUN Rembia diadakan ataupun DUN Melaka dibubarkan lebih awal selepas tiga tahun.
Jelasnya, berdasarkan penerimaan dan sokongan rakyat dalam beberapa siri PRK sebelum ini, pihaknya yakin mampu memperoleh sekurang-kurangnya 18 kerusi andai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat.
“Saya yakin pada PRN16 kalau saya tengok satu-satu, paling kurang memang kita 18 kerusi itu boleh menang.
“Hujung tahun ini sudah genap tiga tahun, bila-bila masa dia boleh tiup wisel. Kalau dia berani, kalau dia berani hujung tahun ini dia sudah tiup. Awal tahun depan dia sudah boleh buat pilihan raya.
“Kalau dia berani, YB (yang berhormat) Rembia itu pun dia tidak pecat-pecat lagi. Berani ke?,” katanya ketika berucap pada Ceramah Selamatkan Melaka di Kuala Sungai Baru di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum telah menghantar surat rasmi kepada Muhammad Jailani pada 19 Julai lalu berhubung pengumumannya menyertai Pas.
Ibrahim berkata, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri itu dikehendaki menjawab surat berkenaan dalam tempoh 14 hari. – UTUSAN










