Gerak kerja berfokus di 54 Parlimen Felda

Gerak kerja berfokus di 54 Parlimen Felda

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan ahli UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Alamanda, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Keyakinan pengundi terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di 54 Parlimen melibatkan kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dikembalikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gerak kerja berfokus di kawasan-kawasan yang dahulunya menjadi kubu kuat parti akan dijalankan bagi mencapai matlamat itu.

Jelasnya, setelah mengambil kira beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan dua pilihan raya umum sebelum ini, UMNO menyasarkan sekurang-kurangnya 30 daripada 54 kerusi Parlimen kawasan Felda untuk dimenangi pada PRU16.

“Saya kata tadi jika kita dapat 30 pun sudah baik, untuk PRU16 ini kita bermula dengan angka jangan terlampau bercita-cita besar sangat. Jika kita boleh dapat kembali 30 daripada 54 kerusi tersebut, kita kekalkan beberapa kerusi kawasan Felda yang kita menang sekarang ini.

“Secara keseluruhannya kalau kita dapat 30 kerusi daripada kawasan Felda, kita dapat mencapai suatu pencapaian yang baik. Dan kita beransur-ansur nanti untuk kita pastikan sokongan masyarakat dan juga penduduk di Felda ini kembali kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini, hari ini.

Tambah Mohamad, majoriti para pengundi kini merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan roh penubuhan Felda seperti generasi peneroka.

“Satu perkara yang perlu kami ataupun semua orang tahu bahawa Felda ini sudah sampai generasi ketiga. Bukan generasi peneroka lagi, generasi kedua sudah banyak duduk di bandar, generasi ketiga semuanya sudah bandar.

“Mereka punya pengikatan tentang semangat penubuhan, roh penubuhan Felda itu sudah tidak ada lagi. Mereka terdedah dengan segala maklumat walaupun berasal dari kawasan Felda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN