DUN Melaka: Gaji ADUN, Exco naik mulai Januari depan

DUN Melaka: Gaji ADUN, Exco naik mulai Januari depan

SIDANG DUN Melaka berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 dibentangkan dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini, bagi meluluskan kenaikan saraan untuk anggota ahli pentadbiran kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Ia merangkumi pindaan terhadap Seksyen 3, 4, 4A dan 6 yang mana elaun tetap ADUN dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Dalam pada itu, saraan Exco dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM8,000 manakala saraan anggota pentadbiran bagi Ketua Menteri Melaka dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM18,000.

Turut dinaikkan adalah saraan Yang Dipertua DUN iaitu daripada RM7,000 kepada RM11,000 untuk lantikan dari kalangan ADUN manakala kenaikan daripada RM8,000 kepada RM11,000 bagi lantikan bukan dari kalangan ADUN.

Kedua-dua jenis lantikan itu juga layak diberikan elaun tetap ADUN yang dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Timbalan Yang Dipertua DUN pula diberikan kenaikan saraan daripada RM3,000 kepada RM4,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kenaikan saraan berpencen itu melibatkan tambahan peruntukan berjumlah RM3,470,333.28 setahun dengan menggunakan peruntukan di bawah B02 DUN, T02 Peruntukan Speaker DUN, T04 Pampasan dan Ganjaran DUN Melaka serta B03 Jabatan Ketua Menteri.

Beliau berkata, kenaikan saraan turut diberikan kepada 123 pesara ADUN yang berpencen sama ada yang menerima pencen atau pencen terbitan.

“Pindaan ke atas seksyen-seksyen yang saya sebutkan tadi telahpun disiarkan dalam Warta Kerajaan bertarikh 9 November 2023 iaitu menerusi RUU Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023. Tarikh berkuat kuasa RUU ini adalah pada 1 Januari 2024,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan dalam Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kali terakhir semakan saraan dibuat adalah pada 2015 dan sejak itu iaitu hampir lapan tahun, tiada semakan dan cadangan kenaikan saraan dilakukan.

Jelasnya, menerusi penelitian dan semakan dibuat Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jabatan Ketua Menteri, DUN Melaka berada pada kedudukan ke-11 daripada 13 buah negeri yang menerima bayaran saraan terendah.

“Hal ini menunjukkan bahawa sebanyak 10 buah DUN di Malaysia telahpun menaikkan kadar bayaran saraan baharu untuk ahli-ahli yang berhormat masing-masing,” katanya.

Usul itu disokong 26 ADUN termasuk dua ADUN pembangkang manakala dua lagi ADUN tidak hadir persidangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya