DUN MELAKA: Ab. Rauf tegur pembangkang, hanya sokong usul

DUN MELAKA: Ab. Rauf tegur pembangkang, hanya sokong usul naik gaji

SERAMAI 26 ADUN menyokong RUU Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Jangan undi bila hendak naik gaji, tetapi apabila minta sokong atau tolak usul, pilih berkecuali”.

Itu teguran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang hanya mengundi untuk menyokong meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2023, semalam.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka RUU itu akan disokong sebulat suara termasuk Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang).

“Jangan sokong bajet naik (tetapi) sokonglah tonggak-tonggak bajet yang beri pulangan kepada rakyat kerana itu adalah peranan kita sebagai wakil rakyat. Saya faham jika kita tidak sefahaman dalam ideologi politik.

“Namun, dalam membentangkan perkara berkaitan rakyat seperti Paramedik Komuniti, Kampung Digital dan Satu Rumah Satu E-mel umpamanya tidak salah memberikan sokongan. Jangan undi naik gaji, menyokong tetapi bila minta sokongan usul diterima atau tidak (memilih) berkecuali,” katanya pada sesi penggulungan Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, RUU Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 dibentangkan dan diluluskan di DUN Melaka, bagi meluluskan kenaikan saraan untuk anggota ahli pentadbiran kerajaan negeri, ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Usul itu disokong 26 ADUN termasuk dua ADUN pembangkang manakala dua lagi ADUN tidak hadir persidangan.

Sementara itu, mengenai perjalanan sidang DUN, Ab. Rauf berkata, beliau memuji sikap ADUN yang menunjukkan kematangan ketika mengutarakan permasalahan rakyat dan perbahasan.

Menurutnya, wakil rakyat yang lebih muda turut membuktikan kebijaksanaan mereka dalam menyempurnakan tanggungjawab sebagai Exco.

“Saya lihat tahap kualiti perbahasan lebih baik daripada persidangan yang lepas. Pemikiran, penyelidikan dan lontaran lebih matang dan kepimpinan yang ditunjukkan juga sesuai pada masanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN