PRK Johor sambungan referendum rakyat

PRK Johor sambungan referendum rakyat

ANNUAR Musa hadir membantu kempen PN dalam PRK DUN Simpang Jeram, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram 9 September ini merupakan sambungan referendum rakyat yang ditunjukkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, bulan lalu.

Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, referendum tidak lengkap tanpa disertai rakyat Johor yang turut sama bakal memberi isyarat.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, bagi memastikan PN menang di Pulai dan Simpang Jeram, pengundi Melayu khususnya perlu bersatu, tidak berpecah-belah dalam memberikan undi, termasuk akar umni UMNO.

“PRK ini penting, jangan tunjuk undi yang berpecah belah. Orang Melayu termasuk ahli UMNO perlu mengundi calon PN dalam dua PRK ini. Jangan tunjuk undi pecah-pecah.

“Sebenarnya orang Cina sudah lama pandai dalam berpolitik, apabila pilihan raya mereka hanya undi satu iaitu DAP. Itu kebijaksanaan orang Cina. Orang Melayu tidak begitu. Begitu juga orang India, parti-parti mereka berterabur,” katanya dalam Ceramah Kelompok PN di Kampung Jeram di sini, malam tadi.

Tambah Annuar, pengundi Cina sememangnya telah lama bersatu dengan mengundi DAP, walaupun daripada berlainan parti kerana mahukan kepentingan mereka dipenuhi terutama dalam isu pendidikan.

Bagaimanapun, ujarnya, masyarakat Cina hari ini sudah mula menyedari dan sangsi dengan DAP selepas permintaan mereka tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

“Saya yakin orang UMNO di Johor akan turut mengundi calon PN pada PRK ini. Saya duduk di sini tiga hari dan ada akar umbi UMNO yang datang berkongsi pandangan. Saya gembira mereka ada kesedaran yang tinggi. Ini jelas orang UMNO akan undi PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN