BATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak yang mempersoalkan keputusan terhadap kesnya di mahkamah merujuk kepada Peguam Negara dan pendakwa raya.
Presiden UMNO itu berkata, walaupun beliau merupakan individu utama yang disiasat dalam kesnya, dirinya tidak mempunyai kuasa untuk menjelaskan sebarang keputusan mahkamah.
Malah, beliau menaruh kepercayaan terhadap Peguam Negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh untuk memberikan penjelasan lebih lanjut.
“Yang itu (keputusan kes), tanya dengan Peguam Negara, kerana dia mewakilkan pendakwa raya untuk menyatakan 11 fakta di mahkamah.
“Jadi, saya sebagai orang terlibat tidak ada hak untuk memberikan ulasan tapi sebaliknya saya memberikan kepercayaan kepada Peguam Negara baharu dan pihak pendakwa raya untuk melakukan penjelasan jika perlu, tapi 11 fakta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bagi saya memadai kerana mahkamah telah buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.
Isnin lalu, selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang memainkan isu itu dalam ceramah-ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun menyeru pengundi Johor supaya tidak terpengaruh dengan isu-isu dimainkan pembangkang ketika ini.
“Kita yakin dengan pengundi di Johor. Kempen secara fitnah dan tidak beretika menggunakan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), pengundi memang matang, terbukti daripada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Kita harapkan di saat-saat akhir ini, jangan termakan pujukan apatah lagi jika ada tawaran pelbagai bentuk untuk mengalihkan istiqamah bagi mengundi dan kemenangan kepada parti Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN