MUAR: Sebagai tanda terima kasih kepada pengundi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang baharu, Ir. Nazri Abdul Rahman meluangkan masanya seharian hari ini berjumpa para pengundi.
Nazri berkata, waktu lapang hari ini digunakan sepenuhnya bertemu masyarakat, mendengar luahan dan cadangan untuk dibawa kepada perhatian kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Mungkin esok lusa saya mulai sibuk dengan penugasan baharu sebagai wakil rakyat, bagaimanapun ruang untuk menemui semua rakyat di sini akan diselaraskan bagi membolehkan mereka menyuarakan masalah di penempatan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Nazri diumumkan sebagai pemenang bagi DUN Simpang Jeram apabila meraih majoriti lebih besar iaitu 3,514 undi.
Ia setelah Nazri berjaya memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri yang mendapat 10,330 undi manakala calon Bebas, S. Jeganathan hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 311 undi.
Dalam pada itu, Nazri komited mahu mendekati anak muda bagi memberikan kesedaran berhubung kepentingan keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi, setelah melihat kurangnya penglibatan mereka semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram.
Ujarnya, beberapa program akan direncanakan seperti acara sukan dan rekreasi melibatkan pelbagai kaum, sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah.
“Kita di sini juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang sesuai, terutamanya mereka yang kali pertama mengundi, terutamanya pengundi 18 tahun.
“Pemahaman kepada golongan muda ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mampu bekerja untuk mereka adalah perkara yang penting,” katanya. – UTUSAN