MUAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas seorang calon Bebas mengemukakan kertas penamaan di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, sebentar tadi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh hadir di pusat penamaan calon pukul 8.00 pagi untuk meninjau perjalanan proses.
PRK diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menang kerusi berkenaan buat kali kedua.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022, PH memenangi 13 kerusi manakala BN menguasai DUN Johor dengan 40 kerusi diikuti PN tiga kerusi. – UTUSAN