MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO akan membuat kaji selidik berhubung prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos lalu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia bagi mengenal pasti mengapa rakyat termasuk pengundi BN tidak mengundi parti itu.
Menurutnya, kaji selidik dilakukan bermula esok secara dalam talian yang mana ia dibuka kepada seluruh pengundi, manakala hasil dapatan dikumpul dan dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.
“Sudah tentunya ini penting bukan sahaja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tetapi yang lebih penting adalah untuk survival UMNO itu sendiri.
“Saya mengambil tanggungjawab agar UMNO terus boleh bertahan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk PRU16 tetapi juga PRU17, PRU18 dan seterusnya.
“Benda asas, kalau menang atau kalah kita kena buat kaji selidik. Kesalahan mesti dibaiki, mesti ada kesalahan di mana-mana pihak sekalipun. Kesalahan ini mesti diperbaiki segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mini Program Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui gabungan itu sedang menghadapi penolakan rakyat khususnya orang Melayu.
Presiden UMNO itu berkata, ia memberi gambaran tidak sihat dan keadaan tersebut menuntut BN supaya bergerak lebih agresif untuk membina semula keyakinan mereka.
Tambah Muhamad Akmal, kaji selidik itu bukan bertujuan mencari salah sesiapa tetapi demi mencari punca dan penyelesaian sebelum parti mengambil langkah tertentu.
Menurutnya, Pemuda UMNO turut mendapatkan pendapat pihak media, selain melantik firma tinjauan pendapat awam bagi melaksanakan kaji selidik tersebut.
“Seandainya dapat keputusan yang sama, ini adalah cerita sebenarnya dan kalau dapatan itu ada yang tidak sama, kita boleh berbincang kerana UMNO ini parti keluarga,” ujarnya. – UTUSAN