'Ada orang UMNO tanya saya, bila Zahid nak jatuh?'

‘Ada orang UMNO tanya saya, bila Zahid nak jatuh?’

muktamar pas
IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mengakui terkejut apabila diajukan soalan oleh seorang warga emas dipercayai ahli UMNO berhubung tarikh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan ‘jatuh’ daripada kedudukannya.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai semasa berucap di Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di Jalan Sakeh di sini, malam tadi berkata, situasi itu berlaku ketika beliau berhenti di salah sebuah masjid berhampiran untuk menunaikan solat Isyak

Ujarnya, beliau cuba menyembunyikan identitinya selaku pimpinan Pas dengan membuka cermin mata, namun tetap dikenali jemaah dan dipelawa menyertai jamuan diadakan pihak masjid.

Jelasnya, meskipun tidak berbicara hal berkaitan politik semasa menyantuni para jemaah yang meraikannya, terdapat beberapa jemaah di situ dipercayai berbual perihal berkaitan bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Tan Sri Othman Saat.

Katanya, ia kemudian disusuli dengan pertanyaan seorang jemaah kepadanya berkenaan Ahmad Zahid.

“Saya pun buka spec (cermin mata) supaya orang tak kenal, rupanya kenal juga. Kenal itu tapi saya punya andaian saya ialah sudah tentulah, saya pun senyap saya tak cakap politik dan mereka ajak makan kita makan. Saya agak terkejutlah kita makan buat tak tahu, sembang apa khabar. Mereka pula tanya bab politik. Jadi kita pun serba salah, kita pun mesti nak jaga adab-adab kita di masjid.

“Kita nak tanya bila si Zahid nak jatuh? Terkejut saya, bukan saya sebut, saya pun tergamamlah soalan macam itu kan. Saya nak sebutnya hari ini yang bercakap bab Othman Saat ini orang UMNO.

“Orang tua saluran satu. Kalau saluran satu bercakap macam itu maknanya apa yang dibimbang oleh Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan, dia menyebut tentang jangan biar kemaraan Pas yang berbahaya ini untuk merebak ke Johor. Begitu juga dengan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, dia pun bercakap nada sama, kita tengok muka mereka tension (tertekan),” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Barisan Nasional (BN) mengakui kekuatan Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ketika berucap di hadapan jentera UMNO Bahagian Bakri mengingatkan, BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak ‘kebanjiran’ Pas masuk ke Johor.

Tambah Idris, statistik menunjukkan peralihan undi penyokong UMNO kepada Perikatan Nasional paling tinggi berlaku di Pulau Pinang semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Perpindahan undi daripada UMNO kepada PN yang paling tinggi sekali ialah di Pulau Pinang. Ahli-ahli UMNO dan kita yakin dan percaya juga di Johor hari ini kemaraan cukup hebat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN