95 veteran tentera terlantar di Muar perlu bantuan khas bulanan

95 veteran tentera terlantar di Muar perlu bantuan khas bulanan

NAZRI Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra dengan Samsudin Rais (kiri) dan ahli PVATM Cawangan Muar, Johor. - UTUSAN/ADNAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seramai 95 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini hidup terlantar akibat menghidap pelbagai penyakit kronik memerlukan bantuan khas bulanan untuk keperluan perubatan dan kesihatan.

Ketua Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Muar, Samsudin Rais berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,195 ahlinya.

Katanya, pihaknya berhadapan kekangan untuk membantu ahli yang menghidap pelbagai penyakit kronik berikutan pendapatan bulanan persatuan hanya sekitar RM1, 400 sebulan, hasil daripada dua buah gerai disewakan kepada ahli.

“Uniknya persatuan ini adalah sebahagian daripada ahlinya merupakan bekas anggota tentera tidak berpencen serta berusia lebih 60 tahun.

“Oleh yang demikian, apabila mereka berhadapan dengan penyakit kronik sehingga menyebabkan tidak boleh bekerja dan terlantar secara tidak langsung kehilangan pendapatan untuk menyara kehidupan serta menanggung kos perubatan,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman di Pejabat PVATM Cawangan Muar di sini, hari ini.

Sementara itu, Nazri berkata, kebajikan pesara ATM tidak akan diabaikan oleh pihaknya dan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, pihaknya berbesar hati untuk membantu golongan pesara yang menghidap pelbagai penyakit kronik akan diutamakan, bukan disalurkan secara bermusim sahaja.

“Sebagai bekas pejuang keamanan negara sama ada berpencen atau tidak, kebajikan mereka harus dihargai kerana tanpa mereka kita tidak mungkin akan mengecapi keamanan seperti sekarang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN