Melaka wujudkan semula jawatan timbalan Exco

Melaka wujudkan semula jawatan timbalan Exco

AB. RAUF Yusoh dalam sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri membuat keputusan mewujudkan semula jawatan timbalan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas dimansuhkan pada 2018 ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jawatan tersebut bakal diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan termasuk daripada PH.

Katanya, pengumuman berkenaan jawatan itu akan dibuat esok selepas selesai mesyuarat pertama Exco.

“Saya akan umumkan pelantikan timbalan Exco esok selepas selesai mesyuarat Exco. Komposisinya cantik dan menarik serta meletakkan semua ADUN untuk berperanan bersama-sama saya di bawah satu pentadbiran yang mantap.

“Kesemua Exco akan ada timbalan. Butiran lantikan itu saya akan umumkan esok,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 10 Exco Melaka yang baharu selesai mengangkat sumpah di Seri Negeri, sebentar tadi.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah, kira-kira pukul 8.40 pagi.

Seramai tujuh ADUN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilantik semula iaitu ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Turut dilantik semula ialah ADUN Gadek, VP. Shanmugam; ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan ADUN Ayer Molek; Datuk Rahmad Mariman.

Tiga muka baharu yang menyertai barisan Exco pimpinan Ab. Rauf ialah ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan; ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan ADUN Kesidang daripada PH, Seah Shoo Chin.

Dalam pada itu, dua ADUN yang digugurkan ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas mengenai inisiatif mewujudkan semula jawatan timbalan Exco, Ab. Rauf berkata, pendekatan tersebut bergantung kepada keadaan dan keperluan pentadbiran semasa.

“Dulu lain sekarang lain, bergantung kepada cara kita. Saya rasa zaman saya menguruskan kerajaan negeri adalah lebih sesuai untuk mengadakan jawatan timbalan Exco.

“Terserah kepada pucuk pimpinan waktu itu. Ketika ini saya memerlukan wakil-wakil rakyat untuk menunjukkan bahawa tidak ada yang ketinggalan diberikan peranan untuk bersama-sama saya membangunkan Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN