KUALA LUMPUR: UMNO kini perlu fokus menyatukan ahlinya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan supaya pemilihan parti boleh dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha juga perlu dilakukan ke arah perancangan strategi yang lebih utuh untuk memenangkan parti supaya mampu menjadi dominan.
“Tidak payah lagi cerita pasukan A dan B. Jangan cerita pasukan-pasukan di semua peringkat, kerana yang ada hanyalah pasukan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, UMNO dimaklumkan yang RoS telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO berhubung pemilihan pucuk pimpinan parti seperti yang diputuskan parti itu sebelum ini.
Namun, dalam tempoh kelulusan itu diberikan, terdapat cakap-cakap sesetengah pihak yang RoS mungkin tidak meluluskannya kerana didakwa terdapat kem yang ingin pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Ahmad berkata: “Kita sudah sepatutnya memberhentikan memikirkan mengenai pemilihan di semua peringkat termasuk cawangan Pemuda, Wanita dan Puteri, bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Tiada lagi isu, yang ada hanyalah fokus untuk menang PRU,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, keputusan RoS meluluskan pindaan tersebut adalah bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama parti.
Menurutnya, dakwaan yang mengatakan Ismail Sabri menjadi pengkhianat parti adalah tuduhan liar serta tidak berasas.
“Pihak terbabit tidak boleh buat tuduhan sebarangan kerana kita perlu menjadi orang yang menjalankan kerja dengan baik seperti dilakukan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau yakin Ismail Sabri sentiasa melakukan perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kepentingan parti.
“Kalau kita nak tengok keadaan cantik, biarlah kita menjadi pendamai supaya parti akan memperoleh kejayaan pada PRU15,” jelasnya. – UTUSAN










