UMNO mesti bersatu dengan satu haluan  - Utusan Malaysia

UMNO mesti bersatu dengan satu haluan 

KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mesti mencari jalan keluar daripada kerajaan sedia ada yang bersifat sementara melalui pilihan raya yang demokratik. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu mesti bersatu dengan hanya satu haluan untuk menang dalam pilihan raya dan mendapat mandat baharu daripada rakyat. 

Justeru, katanya, haluan itu adalah ‘haluan UMNO’ dan bukan haluan presiden parti, Perdana Menteri atau kelompok-kelompok tertentu. 

“Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala pecahan dalam UMNO mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, politiking yang hanya melemahkan UMNO secara dalaman.

“Benar, kita tidak akan boleh bersetuju dalam semua perkara. Tetapi, jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah. 

“Dukungan UMNO kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada presiden dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguatkan satu sama lain,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini. 

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri harus menjadi suara UMNO dan presiden parti menjadi juru bicara bangsa, barulah kerajaan dan parti bergerak sehaluan. 

Katanya, adalah satu pembohongan jika UMNO menafikan mempunyai pergeseran dalaman, bagaimanapun, ia adalah lumrah dalam politik tetapi tidak boleh dibiarkan retak sekaligus merugikan parti. 

“Puak berkepentingan di luar sana sangat gembira apabila UMNO berpecah belah. Kerana UMNO yang lemah akan mudah dikalahkan. Dan apa yang lebih menggembirakan dari berjaya melihat parti terbesar goyah dan bercempera (bercerai-berai)?

“UMNO adalah wadah kita berkhidmat dan menyemai kebaikan selama ini. Fungsi itu tidak pernah berhenti. Tiada siapa yang lebih besar dari wadah dan fungsi ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya